Kebanyakan rumah di Malaysia
memasang gril atau pintu gerigi untuk mempertahankan rumah kita dari dimasuki
pencuri. Apabila pencuri memasuki rumah kita akan menelefon bantuan dari polis
mahupun jiran. Sesetengah negara memasang tembok dan pagar kawat elektrik
supaya sempadannya tidak ditembusi.
Sesetengah polis sempadan akan menembak sesiapa sahaja yang cuba melolos
sempadan tanpa kebenaran. Ada
juga nelayan yang dipenjara seperti dikuarantinkan kerana melepasi sempadan
lautan negara. Mereka didakwa kerana mencuri hasil lautan negara luar.
Demikianlah sebahagian
kecil sistem pertahanan negara kita. Seperti sistem pertahanan negara,badan
kita juga mempunyai sistem pertahanannya sendiri. Bahkan sistemnya terbukti
sangat cekap sejak zaman Nabi Adam lagi!
Sistem pertahanan badan
terdiri dari pertahanan luaran, pertahanan dalaman peringkat pertama dan pertahanan
dalaman peringkat ketiga.
1) Pertahanan Luaran
Sistem
pertahanan luaran adalah pertahanan antara badan dengan dunia luar. Bahagian
tubuh manusia yang bersempadan
dengan dunia luar ialah anggota kulit.
Tahukah anda bahawa hidung, mulut, tekak, salur pernafasan dan salur makanan
kita juga bertembung dengan dunia luar?
Anggota sistem penghadaman makanan dari mulut, tekak, salur esophagus,
kantung perut, usus seterusnya dubur semuanya bertembung dengan dunia luar yang
terdiri dari makanan dan minuman kita.
Kalau
anggota tangan kita disaluti kulit sebagai sempadan dengan dunia luar, anggota sistem
pernafasan,sistem penghadaman dan sistem
pembiakan mempunyai lapisan mukosa
sebagai sempadan dengan dunia luar. Salah satu peranan penting kulit dan mukosa ialah mereka kalis air.
Bayangkan
tangan tanpa kulit yang tidak kalis air! Isi tangan kita pasti mengembang,
mereput apabila terkena air seperti biskut yang menjadi lembik dan kembang
apabila dicicah ke dalam secawan kopi. Bayangkan lapisan mukosa tekak tidak
kalis air! Sudah pasti lapisan itu mengembang semasa kita minum. Oleh kerana ianya
adalah saluran dengan bukaan terhad, pengembangan mukosa boleh menyebabkan
salur udara menyempit dan tersumbat. Kita pasti tercekik dan tidak mampu
bernafas lagi.
Kulit
dan mukosa menutup rapat anggota kita dari dunia luar. Selain bersifat kalis
air, kulit dan mukosa mempunyai sistem pertahanan yang berhubung dengan sistem pertahanan
pertengahan dan dalaman serta anggota badan yang lain.
Sistem
pertahanan luaran bersifat fizikal. Sesetengah
ahli perubatan menamakannya daya tahanan fizikal. Ianya terdiri dari kulit, mukosa, kahak , air mata,
tahi telinga dan rembesan cecair dalam sistem penghadaman. Beberapa tindakan
pantulan semulajadi seperti batuk adalah merupakan sebahagian sistem pertahanan
luaran badan.
Apabila
virus cuba
menyerang tekak, mukosa tekak bertindakbalas dengan merangsang keinginan untuk
batuk. Tindakan batuk bermula dari pengesan deria di lapisan mukosa . Sistem
pengesan deria menghantar mesej ke otak.Otak merangsang otot-otot tekak, otot-otot
paru-paru, dada dan perut untuk batuk. Tindakan batuk adalah laksana
tiupan angin kencang yang meniup kuman
dan bendasing keluar dari salur pernafasan.Bahkan kajian menunjukkan kelajuan
angin yang ditiup keluar melalui batuk ialah selaju 100 hingga 900 km per jam!
Selain dari itu, lapisan mukosa membantu
pertahanan badan dengan pengeluran kahak yang mempunyai antibodi melawan kuman.
Kahak menghalang pembiakan bakteria dan juga bolehmembunuh bakteria.Terdapat
juga lapisan bulu-bulu halus yang dipanggil silia yang sentiasa menolak
debu-debu dan kuman keluar dari tekak.Sistem silia ini juga berkerjasama dengan
sistem kahak.
Sebarang
rekahan atau bukaan kecil pada kulit dan mukosa mendedahkan badan kepada dunia
luar yang bukan sahaja terdiri dari udara, air tetapi juga kuman-kuman dan
bahan kimia. Terdapat pelbagai cara yang membenarkan kuman-kuman itu akhirnya
berjaya masuk ke bawah lapisan mukosa. Sesetengah kuman mempunyai sistem
pelekat badan yang ampuh dan bentuk badan berbentuk skrew yang memudahkan
mereka mengerudi lalu menembusi lapisan mukosa.Apabila sistem pertahanan kulit
dan mukosa ditembusi, sistem pertahanan pertengahan pula dikerah untuk
membantu.
2) Pertahanan Dalaman Peringkat
Pertama
Ianya
terdiri dari askar-askar sel darah putih dengan senjata-senjata bahan kimia semulajadi
bahan. Mereka bertindak secara spontan tanpa arahan dari sistem memori
pertahanan badan. Apabila kuman berjaya menembusi mukosa tekak, kehadiran
mereka dikesan oleh sel-sel darah putih yang bernama fagosit yang akan menelan dan
menghapuskan kuman-kuman tersebut. Sel-sel fagosit yang sedang bertempur ini
akan mengeluarkan bahan kimia bernama
pirojen yang akan disalurkan ke otak untuk menaikkan suhu badan. Kenaikan suhu
badan yang sederhana ( kurang dari 39 ◦ Celsius/ 102◦ Fahrenheit ) menaikkan kadar kecekapan
sistem pertahanan badan disamping menghalang pembiakan kuman jahat.
Walaubagaimanapun,kenaikan suhu yang tinggi dari itu akan mengurangkan
kecekapan daya tindakbalas pertahanan kerana enzim-enzim pertahanan akan rosak
pada suhu tersebut.
Bahan-bahan
kimia lain juga dikeluarkan oleh lapisan bawah mukosa atau kulit. Bahan-bahan
ini menyebabkan salur darah menjadi polos dan untuk memudahkan bendalir pertahanan keluar dari salur darah ke kawasan
yang dijangkiti kuman. Kawasan yang dijangkiti kuman menjadi bengkak.
Inilah
yang terjadi semasa demam denggi.
Kebanyakan air dalam darah keluar ke tisu-tisu badan kerana salur darah menjadi
terlalu polos dan seolah-olah bocor. Akibatnya, salur darah mengalami
kekurangan bahan lalu mengempis, tekanan
darah menjadi rendah. Jantung terpaksa berkerja lebih keras untuk mengepam
darah ke organ-organ utama. Kekurangan bendalir darahlah menjadi punca utama
kematian disebabkan denggi. Demam juga menyebabkan air dalam badan kita
berkurangan. Jadi, pastikan anak kita diberi air sebanyak mungkin semasa demam.
Tujuan
utama salur darah menjadi polos adalah untuk membantu sistem pertahanan badan
dengan membenarkan makin banyak sel-sel darah putih serta bahan-bahan kimia dan
enzim pertahanan sampai ke tempat jangkitan. Salur darah juga mengembang supaya
lebih banyak darah dihalakan ke tempat jangkitan.
Kawasan terlibat menjadi kemerahan akibat lebihan bekalan darah.Ia juga akan
berasa berdenyut-denyut. Bengkak dan
bahan kimia dan enzim yang terhasil menyebabkan deria sakit di kawasan sekitarnya
terangsang. Akibatnya kita berasa sakit.
3) Pertahanan Dalaman Peringkat Kedua
Sistem
pertahanan ini mula bertindak sebaik sahaja sel-sel darah putih di bawah mukosa mengeluarkan bahan kimia
isyarat untuk bertindak. Perbezaan sistem ini dengan sistem peringkat pertama
ialah penghasilan sistem memori yang membentuk sistem imuniti badan di masa
hadapan.Sistem ini menghasilkan antibodi jangka panjang dan pendek. Sel-sel
darah putih diprogram dan dilatih untuk menghadapi “musuh” pada ketika itu dan di
masa hadapan.
Bersambung..
- Akan datang, Episod : Lapan Salah Faham Tentang Demam
___________________________________________________________________
*Artikel bersiri ini merupakan hasil nukilan Prinsipal Klinik Dr Azizah, Dr Noor Azizah Tahir sendiri. Jika ingin berkongsi artikel ini, mohon jasa baik pembaca meminta izin terlebih dahulu melalui email. Sila emailkan sebarang pendapat ataupun cadangan di klinikdrazizah@gmail.com. Artikel mingguan ini merupakan sumbangan Klinik Dr Azizah kembali kepada masyarakat. Kami mengharapkan semua pembaca mendapat manfaat melalui pembacaan artikel ini.