Selasa, 26 Mac 2013

Mama Jangan Gelabah : Anak Demam Ibupun Tergamam - Episod 3




Kebanyakan rumah di Malaysia memasang gril atau pintu gerigi untuk mempertahankan rumah kita dari dimasuki pencuri. Apabila pencuri memasuki rumah kita akan menelefon bantuan dari polis mahupun jiran. Sesetengah negara memasang tembok dan pagar kawat elektrik supaya sempadannya tidak  ditembusi. Sesetengah polis sempadan akan menembak sesiapa sahaja yang cuba melolos sempadan tanpa kebenaran. Ada juga nelayan yang dipenjara seperti dikuarantinkan kerana melepasi sempadan lautan negara. Mereka didakwa kerana mencuri hasil lautan negara luar.

Demikianlah sebahagian kecil sistem pertahanan negara kita. Seperti sistem pertahanan negara,badan kita juga mempunyai sistem pertahanannya sendiri. Bahkan sistemnya terbukti sangat  cekap  sejak zaman Nabi Adam lagi!
Sistem pertahanan badan terdiri dari pertahanan luaran, pertahanan dalaman peringkat pertama dan pertahanan dalaman peringkat ketiga.
1)      Pertahanan Luaran
Sistem pertahanan luaran adalah pertahanan antara badan dengan dunia luar. Bahagian tubuh manusia yang  bersempadan dengan  dunia luar ialah anggota kulit. Tahukah anda bahawa hidung, mulut, tekak, salur pernafasan dan salur makanan kita juga bertembung dengan dunia luar?  Anggota sistem penghadaman makanan dari mulut, tekak, salur esophagus, kantung perut, usus seterusnya dubur semuanya bertembung dengan dunia luar yang terdiri dari makanan dan minuman kita.

Kalau anggota tangan kita disaluti kulit sebagai sempadan  dengan dunia luar, anggota sistem pernafasan,sistem penghadaman dan  sistem pembiakan  mempunyai lapisan mukosa sebagai sempadan dengan dunia luar. Salah satu peranan penting  kulit dan mukosa ialah mereka kalis air.
Bayangkan tangan tanpa kulit yang tidak kalis air! Isi tangan kita pasti mengembang, mereput apabila terkena air seperti biskut yang menjadi lembik dan kembang apabila dicicah ke dalam secawan kopi. Bayangkan lapisan mukosa tekak tidak kalis air! Sudah pasti lapisan itu mengembang semasa kita minum. Oleh kerana ianya adalah saluran dengan bukaan terhad, pengembangan mukosa boleh menyebabkan salur udara menyempit dan tersumbat. Kita pasti tercekik dan tidak mampu bernafas lagi.


Kulit dan mukosa menutup rapat anggota kita dari dunia luar. Selain bersifat kalis air, kulit dan mukosa mempunyai sistem pertahanan yang  berhubung dengan sistem pertahanan pertengahan dan dalaman serta anggota badan yang lain.

Sistem pertahanan luaran bersifat fizikal. Sesetengah  ahli perubatan menamakannya daya tahanan fizikal. Ianya  terdiri dari kulit, mukosa, kahak , air mata, tahi telinga dan rembesan cecair dalam sistem penghadaman. Beberapa tindakan pantulan semulajadi seperti batuk adalah merupakan sebahagian sistem pertahanan luaran badan.

Apabila virus cuba menyerang tekak, mukosa tekak bertindakbalas dengan merangsang keinginan untuk batuk. Tindakan batuk bermula dari pengesan deria di lapisan mukosa . Sistem pengesan deria menghantar mesej ke otak.Otak merangsang otot-otot tekak, otot-otot paru-paru, dada dan perut untuk batuk. Tindakan batuk adalah laksana tiupan  angin kencang yang meniup kuman dan bendasing keluar dari salur pernafasan.Bahkan kajian menunjukkan kelajuan angin yang ditiup keluar melalui batuk ialah selaju 100 hingga 900 km per jam!

 Selain dari itu, lapisan mukosa membantu pertahanan badan dengan pengeluran kahak yang mempunyai antibodi melawan kuman. Kahak menghalang pembiakan bakteria dan juga bolehmembunuh bakteria.Terdapat juga lapisan bulu-bulu halus yang dipanggil silia yang sentiasa menolak debu-debu dan kuman keluar dari tekak.Sistem silia ini juga berkerjasama dengan sistem kahak.

Sebarang rekahan atau bukaan kecil pada kulit dan mukosa mendedahkan badan kepada dunia luar yang bukan sahaja terdiri dari udara, air tetapi juga kuman-kuman dan bahan kimia. Terdapat pelbagai cara yang membenarkan kuman-kuman itu akhirnya berjaya masuk ke bawah lapisan mukosa. Sesetengah kuman mempunyai sistem pelekat badan yang ampuh dan bentuk badan berbentuk skrew yang memudahkan mereka mengerudi lalu menembusi lapisan mukosa.Apabila sistem pertahanan kulit dan mukosa ditembusi, sistem pertahanan pertengahan pula dikerah untuk membantu.

2)      Pertahanan Dalaman Peringkat Pertama
Ianya terdiri dari askar-askar sel darah putih dengan senjata-senjata bahan kimia semulajadi bahan. Mereka bertindak secara spontan tanpa arahan dari sistem memori pertahanan badan. Apabila kuman berjaya menembusi mukosa tekak, kehadiran mereka dikesan oleh sel-sel darah putih yang  bernama fagosit yang akan menelan dan menghapuskan kuman-kuman tersebut. Sel-sel fagosit yang sedang bertempur ini akan mengeluarkan  bahan kimia bernama pirojen yang akan disalurkan ke otak untuk menaikkan suhu badan. Kenaikan suhu badan yang sederhana ( kurang dari 39 ◦ Celsius/  102◦ Fahrenheit ) menaikkan kadar kecekapan sistem pertahanan badan disamping menghalang pembiakan kuman jahat. Walaubagaimanapun,kenaikan suhu yang tinggi dari itu akan mengurangkan kecekapan daya tindakbalas pertahanan kerana enzim-enzim pertahanan akan rosak pada suhu tersebut.

Bahan-bahan kimia lain juga dikeluarkan oleh lapisan bawah mukosa atau kulit. Bahan-bahan ini menyebabkan salur darah menjadi polos dan untuk memudahkan bendalir  pertahanan keluar dari salur darah ke kawasan yang dijangkiti kuman. Kawasan yang dijangkiti kuman menjadi bengkak.

Inilah yang terjadi semasa  demam denggi. Kebanyakan air dalam darah keluar ke tisu-tisu badan kerana salur darah menjadi terlalu polos dan seolah-olah bocor. Akibatnya, salur darah mengalami kekurangan  bahan lalu mengempis, tekanan darah menjadi rendah. Jantung terpaksa berkerja lebih keras untuk mengepam darah ke organ-organ utama. Kekurangan bendalir darahlah menjadi punca utama kematian disebabkan denggi. Demam juga menyebabkan air dalam badan kita berkurangan. Jadi, pastikan anak kita diberi air sebanyak mungkin semasa  demam.

Tujuan utama salur darah menjadi polos adalah untuk membantu sistem pertahanan badan dengan membenarkan makin banyak sel-sel darah putih serta bahan-bahan kimia dan enzim pertahanan sampai ke tempat jangkitan. Salur darah juga mengembang supaya

lebih  banyak darah dihalakan ke tempat jangkitan. Kawasan terlibat menjadi kemerahan akibat lebihan bekalan darah.Ia juga akan berasa berdenyut-denyut. Bengkak  dan bahan kimia dan enzim yang terhasil menyebabkan deria sakit di kawasan sekitarnya terangsang. Akibatnya kita berasa sakit.

3)      Pertahanan Dalaman Peringkat Kedua
Sistem pertahanan ini mula bertindak sebaik sahaja sel-sel darah putih  di bawah mukosa mengeluarkan bahan kimia isyarat untuk bertindak. Perbezaan sistem ini dengan sistem peringkat pertama ialah penghasilan sistem memori yang membentuk sistem imuniti badan di masa hadapan.Sistem ini menghasilkan antibodi jangka panjang dan pendek. Sel-sel darah putih diprogram dan dilatih untuk menghadapi “musuh” pada ketika itu  dan  di masa hadapan.

 Bersambung..
- Akan datang, Episod : Lapan Salah Faham Tentang Demam

___________________________________________________________________



*Artikel bersiri ini merupakan hasil nukilan Prinsipal Klinik Dr Azizah, Dr Noor Azizah Tahir sendiri. Jika ingin berkongsi artikel ini, mohon jasa baik pembaca meminta izin terlebih dahulu melalui email. Sila emailkan sebarang pendapat ataupun cadangan di klinikdrazizah@gmail.com. Artikel mingguan ini merupakan sumbangan Klinik Dr Azizah kembali kepada masyarakat. Kami mengharapkan semua pembaca mendapat manfaat melalui pembacaan artikel ini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...