Rabu, 5 Oktober 2011

PENINGKATAN KES POLIOMYELITIS

Pengenalan dan sejarah
INDIA, 12 tengah hari waktu tempatan; seorang kanak-kanak perempuan sedang mengheret badannya di atas lantai beralaskan simen, di sebuah rumah anak-anak yatim. Lututnya melecet dengan kesan luka.
Republik Demokratik Congo, 4.30 petang; seorang warga tua menjual barang-barang lama dari atas kerusi rodanya bagi menyara kehidupannya - satu-satunya pekerjaan yang dilakukannya sejak belia lagi.
Nigeria, 7 malam; seorang pemuda sedang `menyepak' bola dengan tangannya. Pergerakannya dibantu oleh papan luncur yang agak usang.
Tiga situasi ini menggambarkan bagaimana polio telah merampas keupayaan mereka untuk berjalan, buat selama-lamanya.
Bayangkan pula impak, pertama; keazaban, kelumpuhan dan otot-otot yang menjadi lembik dan lemah longlai, tidak mungkin disembuhkan kembali.
Kemudian; kesakitan kaki, tangan dan lain-lain anggota badan atau tulang belakang yang menjadi rosak dan tidak boleh digunakan lagi buat selama-lamanya.
Seterusnya; kekecewaan dan kesakitan mengiringi rutin harian yang mudah seperti turun dari katil, memakai baju dan berjalan.
Lagi; renungan. Komen sinikal. Diskriminasi. Kecenderungan kekal menganggur, kekal bujang. Dan sering kalinya, kanak-kanak cuba dijauhi, disembunyikan di rumah atau disimpan di mana-mana dan dibiarkan terpinggir serta merempat meminta sedekah di jalanan.

Begitulah rupa hodoh penyakit virus tertua umurnya itu yang pernah muncul sebagai penyakit yang begitu menakutkan di dunia, satu ketika dulu. Tidak hairanlah kebanyakan gambar yang mengiringi artikel berkaitan polio terdapat dalam hitam putih.
Sebagaimana kejayaan resolusi penghapusan penyakit cacar, polio ditetapkan sebagai jangkitan kedua untuk dinyahkan terus dari planet ini menerusi kempen Inisiatif Menghapuskan Polio Peringkat Global. Terima kasih kepada penciptaan vaksin polio yang telah menurunkan dengan ketara, kadar penularannya.
Namun begitu, di saat-saat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) beranggapan polio hampir sahaja dihapuskan pada awal 2003, dengan hanya setengah dozen negara sahaja terus melaporkan jangkitan, sesuatu telah berlaku.
Pada masa itu, beberapa wilayah yang didiami oleh majoriti umat Islam di Nigeria telah menolak langkah pelalian bagi mencegah penyakit itu selama setahun. Khabar angin tersebar luas mengatakan, kerajaan barat telah menambah vaksin itu dengan dadah sebagai sebahagian konspirasi memandulkan gadis-gadis muslim.
Memandangkan sifat semula jadi kuman polio yang sangat berjangkit, virus itu cepat menular dan buat pertama kalinya dalam tempoh sedekad, Indonesia, pada Mac lalu, menjadi negara baru ke-16 yang dijangkiti wabak itu.
WHO, pada minggu lalu berkata, wabak itu yang telah menyerang 225 kanak-kanak dan seorang dewasa di Indonesia berpotensi merebak ke negara-negara jiran Asia Tenggara dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Musim hujan yang bakal menjelang pada Oktober ini dijangka memudahkan lagi pemindahan penyakit bawaan air itu daripada seorang pesakit kepada pesakit lain.
Di Kuala Lumpur, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Ismail Merican dalam kenyataannya Rabu lalu mengarahkan semua Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) agar mempertingkatkan liputan imunisasi vaksin polio, khususnya untuk kanak-kanak yang tercicir dalam penerimaan dos vaksin yang lengkap.
``Pada masa ini, liputan imunisasi lengkap dengan tiga dos vaksin polio di kalangan kanak-kanak di Malaysia adalah lebih daripada 95 peratus, manakala lima peratus lagi adalah mereka yang tinggal jauh di pedalaman.
``Sebagai satu langkah awal, kementerian juga mengarahkan JKN untuk mengesan dan melaporkan semua kes kelumpuhan flasid (lembik) akut,'' Dr. Ismail dipetik sebagai berkata.
Rantau Pasifik Barat termasuk Malaysia diisytiharkan bebas polio liar pada tahun 2000. Hanya lima kes tempatan dilaporkan berlaku pada tahun 1986 dan tiga kes pada tahun 1992.
Berasal dari perkataan Yunani Poliomyelitis atau popular dengan nama singkatannya polio - merupakan sejenis penyakit yang disebabkan oleh virus polio.
``Virus polio biasanya menyerang sistem saraf ke otot manusia dan ini boleh menyebabkan otot-otot menjadi lumpuh dalam masa beberapa jam sahaja.
``Kadangkala polio menyerang otot pernafasan yang menyebabkan kesukaran bernafas dan membawa kematian,'' kata Pakar Kesihatan Awam, Jabatan Perubatan Masyarakat, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Dr. Zaliha Ismail.
Mengikut sejarahnya, polio sudah dikenal sejak zaman prasejarah lagi di mana lukisan dinding di kuil-kuil Mesir kuno menggambarkan orang-orang sihat dengan kaki layuh yang berjalan menggunakan tongkat.
Mula dikenal pasti sebagai poliomyelitis oleh Michael Underwood dari England pada tahun 1789. Di Eropah, wabak poliomyelitis mula dilaporkan pada awal abad ke-19.
Mengulas lanjut, polio berpunca daripada jangkitan poliovirus iaitu sejenis virus (enterovirus) RNA kecil yang terdiri daripada tiga strain yang berbeza iaitu poliovirus jenis 1, 2 dan 3. 
Menurut Dr. Zaliha, pada lebih dari 90 peratus orang yang dijangkiti, penyakit polio tidak menunjukkan sebarang gejala, menyebabkan seseorang itu tidak tahu dirinya telah dijangkiti.
Sebahagian lagi hanya mengalami gejala-gejala yang mirip kepada jangkitan saluran pernafasan seperti demam selesema yang disebabkan oleh virus yang lain.
Masa inkubasi, dari mula virus memasuki badan sehingga timbul gejala sakit polio adalah antara tiga hingga 35 hari.
``Dalam tempoh ini pembawa berkenaan paling mudah menyebarkan virus kepada orang lain tanpa disedari.
``Gejala awal dari penyakit polio meliputi demam, rasa lemah, sakit kepala, muntah, sembelit dan kadang-kadang disertai cirit-birit,'' katanya.
Sementara itu, satu hingga dua peratus lagi mengalami demam panas, meningitis (radang pada membran otak dan saraf tunjang) serta sakit leher dan belakang yang teruk.
Gejala-gejala seperti kekejangan pada leher, belakang atau pada bahagian kaki boleh juga terjadi dan akan hilang selepas dua hingga 10 hari.
``Pada tahap selanjutnya di mana virus sudah menyebar ke sistem saraf, penyakit ini boleh menyebabkan kelumpuhan yang kekal akibat daripada kerosakan pada sel-sel saraf yang diserang.
``Kelumpuhan yang kekal ini hanya terjadi pada kurang dari satu peratus orang yang dijangkiti virus polio,'' ujar beliau.
Jenis-jenis polio
Jangkitan virus polio boleh dibahagikan kepada dua iaitu tidak paralitik (tidak menyebabkan kelumpuhan) dan paralitik (menyebabkan lumpuh, biasanya pada anggota kaki).
Golongan berisiko tinggi
Polio menyerang sesiapa sahaja tanpa mengenal usia, tetapi kadar kejadian yang tinggi terjadi pada kanak-kanak yang berusia di bawah lima tahun.
Diagnos
Penyakit ini boleh didiagnos secara klinikal (sejarah dan tanda-tanda penyakit), pengesanan kehadiran virus dalam najis, farinks dan cecair sekeliling saraf tunjang serta melalui pengesanan antibodi di dalam darah pesakit.
Dr. Zaliha berkata, penyakit ini menular melalui sentuhan, makanan dan minuman yang tercemar dengan virus di dalam najis orang yang dijangkiti oleh virus polio.
Perebakan melalui cecair mulut dan tekak boleh juga berlaku tetapi amat jarang.
``Virusnya memasuki usus melalui mulut, farinks dan berkembang biak di dalam usus. Virus boleh dikesan di bahagian farinks dan najis sebelum seseorang itu menunjukkan sebarang gejala penyakit.
``Lebih kurang seminggu selepas jangkitan, virus di farinks mula berkurangan tetapi ia masih dikeluarkan melalui najis selama beberapa minggu selepas jangkitan dan kadangkala sehingga sebulan,'' katanya.
Virus kemudian memasuki sel limfoid seterusnya ke dalam aliran darah dan disalurkan ke sel-sel saraf termasuk saraf otak.
Penularan, katanya, boleh berlaku dalam masa tujuh hari sebelum dan 10 hari selepas seseorang itu menunjukkan gejala penyakit.
Walau bagaimanapun, jangkitan boleh juga berlaku selagi terdapat virus di dalam farinks dan najis pesakit.
Virus boleh berada di dalam farinks lebih kurang seminggu selepas dijangkiti dan di dalam najis, untuk beberapa minggu, kadangkala sehingga sebulan.
Adakah polio boleh dirawat?
Polio tidak boleh dirawat, kita hanya boleh mencegahnya. Rawatan hanyalah merupakan rawatan pemulihan akibat dari komplikasi yang terjadi.
Imunisasi
Polio boleh dicegah melalui imunisasi vaksin pencegah polio. Terdapat dua jenis vaksinasi polio iaitu melalui suntikan - IPV (Injection Polio Vaccine), dan OPV (Oral Polio Vaccine), vaksin yang diberikan melalui titisan mulut.
``Vaksin polio yang diberikan kepada setiap kanak-kanak mengikut aturan dan jadual yang betul akan dapat memberi perlindungan sepanjang hayat.
``Di Malaysia, semua kanak-kanak di bawah umur setahun harus dilengkapi dengan tiga dos OPV yang diberikan ketika berumur dua, tiga dan empat bulan,'' kata Dr. Zaliha.
Dos tambahan diberikan pada umur satu setengah tahun dan lima hingga tujuh tahun. Vaksin ini diberikan bersama imunisasi tiga serangkai.
Hanya selepas suntikan ketiga, barulah tubuh kanak-kanak dapat menghasilkan antibodi melawan virus polio. Orang dewasa yang ingin ke negara yang endemik juga disaran mendapatkan imunisasi ini.
``Vaksin adalah selamat. Kesan sampingan yang serius amat jarang ditemui di kalangan kanak-kanak yang normal.
``Jika kita tidak melindungi anak-anak kita dengan imunisasi vaksin pencegah polio secara teratur serta tidak mengamalkan amalan kebersihan yang sepatutnya, tidak mustahil kita akan dijangkiti oleh penyakit ini,'' tegasnya.
Dalam dunia moden, jelas Dr. Zaliha, pergerakan orang yang dijangkiti dari satu negara ke negara yang lain tidak dapat kita hindari.
Penyakit polio hanya dapat dicegah sepenuhnya jika semua negara di dunia ini dapat menghapuskan penularan penyakit melalui imunisasi pencegahan sepenuhnya.
Saranan WHO International Travel & Health , pelancong dari atau ke Pakistan perlu mendapatkan vaksinasi. Pelancong ke Pakistan yang sudah mendapatkan tiga atau lebih dos OPV sebelum ini, disarankan untuk mengambil semula dos vaksin sebelum perlepasan. Bagi individu belum diimunisasi yang ingin ke Pakistan, disarankan untuk mendapatkan vaksinasi sepenuhnya terlebih dahulu. Manakala, pelancong dari Pakistan juga perlu mendapatkan vaksin sebelum keluar Pakistan, sekurang-kurangnya satu dos sebelum perlepasan. Terdapat beberapa negara yang tiada kes Polio, memerlukan pelancong Pakistan divaksin bagi mendapatkan visa kemasukan.

Musim Haji dan umrah sudah bermula, Kerajaan Arab Saudi menyarankan individu yang mengerjakan haji atau umrah untuk mendapatkan imunisasi terlebih dahulu. Individu terlibat mesti mempunyai bukti vaksinasi OPV 6 minggu sebelum perjalanan dan akan menerima dos OPV seterusnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...